PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNHEP) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia sebagai langkah bagi membendung kenaikan harga barangan keperluan oleh peniaga.

“Disebabkan PKP ini akan diteruskan (hingga 28 April), kita faham kemungkinan ada peniaga tidak bertanggungjawab dan mengambil kesempatan menaikkan harga.

“Justeru, pada mesyuarat sebentar tadi, kita memutuskan supaya Skim Harga Maksimum ini dilaksanakan KPDNHEP,” katanya pada sidang media, hari ini.

Skim harga maksimum biasanya biasanya diperkenalkan pada musim perayaan tetapi kerajaan turut memutuskan pelaksanaannya ketika PKP.

Ismail Sabri memaklumkan, KPDNHEP sentiasa memantau bekalan barangan keperluan harian dan menjalankan pemeriksaan khas bagi memastikan tahap bekalan 25 jenis barangan yang menjadi pilihan utama pengguna di pasaran.

“Semalam, sebanyak 1,205 pemeriksaan membabitkan peniaga di peringkat peruncit, pemborong dan pengilang diadakan dan didapati hampir semua barangan keperluan asas berada pada tahap stabil, di mana bekalannya mencukupi termasuk topeng muka dan cecair pencuci tangan.

“Hingga semalam juga, KPDNHEP menerima 8,145 aduan dan pertanyaan berkaitan bekalan dan harga barangan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan juga mengesahkan bahawa bekalan basah dan kering terutama beras adalah lebih daripada mencukupi.

“Rakyat tidak perlu bimbang kerana bekalan mencukupi. Justeru, jangan ada timbul sebarang pembelian panik,” katanya.