Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menyambut baik keputusan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal apabila membenarkan kembali operasi perladangan dan kilang di enam daerah negeri itu yang ditutup susulan penularan wabak COVID-19 sebelum ini.

Menurut Datuk Dr Mohd Khairuddin, penutupan tersebut telah memberi kesan kepada kira-kira 100,000 pekerja dan menjejaskan 75 peratus daripada pengeluaran di Sabah, yang juga negeri pengeluar minyak sawit terbesar Malaysia

Katanya lagi, beliau faham tujuan penutupan, namun begitu berdasarkan statistik di Semenanjung, tiada satu kes positif COVID-19 (dicatatkan sektor ini) sejak awal tempoh PKP kerana peladang dan pengilang mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang sangat ketat.

“Sabah sudah memulakan kembali operasi perladangan mereka dan kita sudah minta mereka ikut prosedur operasi standard bagi mencegah penularan COVID-19 seperti yang dilaksana di semenanjung dan Sarawak.

“Bagaimanapun sekiranya berlaku hanya satu kes jangkitan di ladang, kita akan arahkan ladang dan kilang ditutup serta merta,” katanya semasa lawatan ke Baling, Kedah.