Baling – Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, pada hari ini telah turun padang bertemu penoreh dan peraih getah di Baling dan Sik bagi mendengar sendiri rintihan permasalahan mereka.

Tindakan ini merupakan antara rentetan daripada Sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbelakalan 2020 Kementerian Industri Utama yang berlangsung di Parlimen awal November 2019 di mana Ahli Parlimen Baling Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim yang bangun mempersoalkan nasib penoreh getah mengenai harga lantai untuk komoditi berkenaan demi kepentingan serta kebajikan penoreh seluruh Negara khususnya di daerah Baling-Kedah.

Mengulas lanjut, menurut Datuk Dr Khairuddin, Baling mempunyai seramai 15,137 penoreh manakala Sik seramai 11,077 penoreh dari keseluruhan 66,662 penoreh di Kedah. Manakala bilangan penoreh getah seluruh Malaysia ialah 457,564 orang dimana rata-rata mereka adalah pekebun kecil miskin. Ini mencatatkan bilangan penoreh di Kedah sebanyak 14.57% daripada jumlah penoreh di seluruh negara manakala 5.7% penoreh daripada Baling dan Sik.

Seterusnya, beliau berkata bahawa beliau juga sedar akan keadaan semasa penoreh yang mana sebahagian besar daripada mereka berusia 50 tahun ke atas dengan pendapatan bulanan sekitar RM 300.00 – RM 800.00 sahaja sebulan serta mempunyai masa yang terhad untuk menorah iaitu hanya sekitar 6-7 bulan setahun.

“Insyallah menerusi Kementerian, saya bersama para pegawai akan berusaha merancang yang terbaik untuk membantu membangunkan ekonomi mereka untuk jangka masa panjang agar sekurang-kurangnya mereka mampu melunaskan keperluan harian mereka” kata Datuk Dr Khairuddin semasa sesi lawatan.