Kuala Lumpur, 15 April – KPM memaklumkan bahawa Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bagi tahun 2020 dibatalkan.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pembatalan UPSR tidak akan menjejaskan penilaian terhadap tahap penguasaan murid. Memandangkan keputusan UPSR dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah berasrama penuh (SBP), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Maktab Tentera Diraja (MTD), KPM akan memperkenalkan kaedah baharu bagi tujuan ini.

Beliau memaklumkan satu kaedah baharu akan diperkenalkan. Keputusan yang diperoleh dari kaedah ini akan dijadikan satu daripada kriteria pemilihan untuk kemasukan ke sekolah-sekolah khusus seperti sekolah berasrama penuh dan sekolah teknik.

Pihak KPM ingin menegaskan bahawa pembukaan semula sesi persekolahan selepas PKP adalah tertakluk kepada perkembangan semasa dan nasihat daripada KKM dan MKN. Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa setelah mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan murid.