Baling – ADUN Bayu, Abdul Nasir Idris, mewakili penoreh getah di daerah Baling mengucapkan terima kasih kepada YB Dato Dr Khairuddin Aman Razali selaku Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi atas kesudian beliau mengadakan lawatan pada hari Ahad yang lepas untuk melihat keadaan penoreh getah di kawasan ini.

Menurut Abdul Nasir, pertemuan antara pihak Kementerian dengan Persatuan Penoreh Getah di Daerah Baling ini merupakan salah satu usaha pihak kerajaan dalam merangka strategi jangka masa pendek dan panjang bagi meningkatkan pendapatan penoreh getah. Beliau juga percaya hasil perjumpaan tersebut dapat menjamin ekonomi penoreh serta peladang khususnya di kawasan Baling, Kedah.

Beliau juga ingin mengulas berkenaan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM), di mana beliau berharap pihak kerajaan dapat mengkaji semula sistem IPG yang sedia ada supaya prosedur tuntutan dan bayaran dapat dipermudahkan. Ini kerana masih terdapat beberapa kekangan serta kesulitan sesetengah pihak dalam membuat tuntutan tersebut lebih-lebih lagi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP).