KUALA LUMPUR, 15 April – Kerajaan negeri Sarawak mengambil langkah proaktif membantu pekebun kecil dengan memberi insentif tambah RM0.50/kg terhadap harga getah ketika ini selaras dengan usaha Pusat.

Ini sekaligus menjadikan jumlah Insentif Pengeluaran Getah (IPG) meningkat kepada RM1.90/kg.

Menurut Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin, pihaknya begitu mengalu-alukan insentif itu yang ternyata akan meringankan bebanan di tanggung oleh pekebun kecil.

“Sebenarnya ini juga akan meningkatkan pendapatan para pekebun kecil getah di Sarawak sekaligus membuktikan gandingan kerajaan negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan begitu dalam serius membela nasib rakyat.

“RM2.50/kg Cuplump adalah harga pengaktifan IPG oleh Kerajaan Persekutuan tetapi pada bulan Mac 2020, IPG telah diaktifkan kerana di Sarawak purata harga ladang bulanan Cuplump ialah RM1.80/kg, bermakna pekebun kecil akan dibayar IPG sebanyak RM0.70/kg cuplump.

‘Oleh kerana cuplump cuma mengandungi 50% kandungan getah kering (KGK), nilai IPG ialah RM1.40/kg cuplump untuk 100% KGK,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Sambung Willie, kerajaan Sarawak telah membantu pekebun kecil dengan memberi insentif tambahan RM0.50/kg, menjadikan jumlah IPG meningkat kepada RM1.90/kg.

“Jumlah IPG meningkat kepada RM1.90/kg. Saya beri contoh, jika pekebun kecil menghasilkan 400 kg cuplump  pada bulan Mac, jumlah insentif yang dibayar ialah RM380 berbanding RM280 pada kadar IPG biasa tanpa insentif tambahan dari Kerajaan Sarawak.

“Tanpa IPG, pendapatan pekebun kecil dari jualan cuplump hanya RM720. Dengan insentif IPG tambahan di Sarawak, pendapatan pekebun kecil ialah RM1,100 (RM720+RM380),” ujarnya.

Dalam pada itu, Willie juga mengesa para pekebun kecil getah yang belum mendaftar kad Permit Autoriti Transaksi Getah atau singkatannya(PAT-G) untuk mendaftar di seluruh Pejabat Pertanian di Negeri Sarawak.

“Atau boleh juga mendaftar di pejabat Lembaga Getah Malaysia (LGM) supaya mereka boleh mendapat manfaat IPG dan supaya mereka tidak tercicir,” katanya.

Untuk sebarang pertanyaan, golongan ini juga boleh hubungi Talian Hotline LGM di 1-800-888-474 (Isnin-Jumaat) 9.00 pagi-5.00 petang atau 019-602 6001, 019-625 7800 selepas jam 5.00 petang.

Sebelum ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali, berkata ketika ini hanya kira-kira 20 peratus pekebun getah di seluruh negara membuat tuntutan IPG, sedangkan bantuan itu bertujuan menstabilkan pendapatan mereka.

Katanya, setakat ini hanya RM100 juta subsidi IPG sudah dituntut dan terdapat kira-kira RM400 juta peruntukan boleh dituntut pekebun getah yang berhadapan masalah harga getah yang tidak stabil.

Sebelum ini juga penoreh getah berhadapan masalah membuat tuntutan IPG apabila perlu ke pejabat LGM di bandar bagi membuat permohonan menyebabkan ramai tidak berbuat demikian. – MalaysiaGazette