KUALA LUMPUR- Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan terus memberi perhatian terhadap pembangunan industri buluh sebagai komoditi terbaru yang boleh menjana pendapatan serta meningkatkan ekonomi pelbagai peringkat.

Menurut Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, isu berkenaan industri buluh telah menjadi perhatian rakyat sejak kebelakangan ini. Sama ada positif atau negatif ia tetap satu promosi buat industri ini.

“Ia satu permulaan yang baik, tatkala sudah ramai pelabur dan usahawan menghubungi saya untuk mendapatkan perincian dan memohon temu janji di samping penggiat industri yang menyambut baik hasrat saya memperkasakan industri ini”.

“InsyaAllah, industri ini akan saya berikan perhatian sewajarnya. Oleh kerana itu, saya telah masukkan nota makluman dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari Rabu lepas sebelum membuat kenyataan media tentangnya”.