Putrajaya, 22hb. April – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kluster baharu Covid-19 di Pengerang, Johor. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pesakit kluster berkenaan dirujuk sebagai kes Pesakit No.1,508 yang mula mengalami gejala pada 12 Mac lalu. Pesakit tersebut disyaki menghidap demam denggi di sebuah hospital swasta pada 16hb. Mac.

Walaubagaimanapun, sehari selepas itu, pesakit tersebut didapati telah merentasi beberapa buah negeri bagi mengunjungi sanak-saudaranya di sekitar Selangor dan pulang ke Pengerang pada 18 Mac lalu.

“Keadaan kesihatan beliau mula merosot dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor pada 20 Mac lalu dalam keadaan yang kritikal dan seterusnya disahkan positif jangkitan COVID-19 pada 22 Mac,” kata Ketua Pengarah Kesihatan dalam sidang media, di sini semalam.

Menurutnya lagi, sehingga 22 April, daripada 15 kes positif COVID-19 itu, 10 orang merupakan rakan sekerja manakala lima orang lagi melibatkan ahli keluarga pesakit indeks terbabit, termasuk ibu beliau yang berusia 79 tahun dan anak perempuan berumur 10 tahun.

Mengulas lanjut, Ketua Pengarah Kesihatan mengesahkan sebanyak tujuh kes daripada kluster berkenaan sedang menerima rawatan manakala lapan kes lagi sudah pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj. Manakala tiga kes di dalam kluster ini telah dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

“Secara keseluruhan, tiga kes di dalam kluster ini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Jangkitan dalam kalangan ahli keluarga yang menetap di negeri lain dipercayai berpunca daripada aktiviti kunjung-mengunjung yang berlaku sehari sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)”.