Lembaga Getah Malaysia (LGM), menerusi Kenyataan Media pada hari ini memperkenalkan satu aplikasi baharu dikenali sebagai RRIMniaga. Inovasi ini merupakan satu inisiatif kerajaan bagi memudahkan urusan para pelesen, pembeli dan peraih (dealer) getah yang berdaftar di bawah LGM.

Antara kelebihan aplikasi RRIMniaga ini ialah pelesen, pembeli atau peraih (dealer) getah tidak perlu membeli buku rekod jualan dan buku resit. Ini kerana proses pembelian akan dilakukan secara automatik dan sebarang resit berkaitan akan dikeluarkan secara elektronik. Manakala, segala rekod serta transaksi berkaitan terdapat di dalam aplikasi tersebut bagi memastikan transaksi berjalan dengan telus bagi semua pihak yang terlibat.

Tambahan lagi, RRIMniaga juga telah dihubungkan terus dengan sistem Insentif Pengeluaran Getah (IPG). Oleh itu, para peladang dan penoreh yang masih belum membuat tuntutan IPG tersebut, boleh membuat permohonan melalui aplikasi ini.

Manakala bagi yang telah membuat tuntutan, akan memperoleh manfaat IPG tanpa perlu melalui proses konvensional dan insentif tersebut akan disalurkan terus ke akaun pemohon setelah melalui prosidur semakan semasa dan harga pengaktifan IPG diumumkan oleh LGM pada bulan seterusnya.

Menurut LGM, walaupun aplikasi RRIMniaga masih dalam peringkat percubaan, namun ianya telah mendapat sambutan yang baik. Sehingga kini, sebanyak 304 individu dari kalangan peruncit, pembeli dan peraih (dealer) telah menggunakan RRIMniaga serta terbukti menjimatkan masa dan kos selain dapat merekod data dengan lebih efisyen.

LGM juga akan terus prihatin dan komited dalam memastikan industri getah kekal berdaya maju seiring dengan perkembangan ekonomi global.