Putrajaya, 23 April – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan dilanjutkan untuk 2 minggu lagi iaitu sehingga 12 Mei 2020.

Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, dengan tempoh yang dilanjutkan tersebut, kerajaan akan menilai data-data terkini yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan untuk menentukan langkah seterusnya.

“Saya tidak menolak kemungkinan bahawa PKP akan dilanjutkan lagi selepas ini. Ini bermakna, saudara-saudari mungkin tidak boleh menyambut hari raya di kampung”.

“Saudara-saudari masih tidak boleh bekerja, kecuali bagi mereka yang bekerja dalam sektor yang dibenarkan. Perniagaan juga masih belum boleh dibuka sepenuhnya”.

Beliau turut berkata, sekiranya kes-kes COVID 19 terus menunjukan penurunan yang ketara, kerajaan berkemungkinan akan melonggarkan kawalan pergerakan secara bertahap dalam beberapa sektor termasuk sektor sosial.

“Ini untuk membolehkan saudara-saudari menjalani kehidupan yang lebih selesa. Majlis Keselamatan Negara sedang merangka satu pelan yang menyeluruh mengenai perkara ini”.

“Dengan kemungkinan pelanjutan tempoh PKP, kerajaan sedang mengkaji kaedah untuk memulihkan ekonomi, atau ‘revive the economy’, secara bertahap”.

Tan Sri Muhyiddin Yassin turut memberitahu keputusan itu termasuk merangka Pelan Pemulihan Ekonomi jangka pendek dan sederhana bagi memastikan aktiviti ekonomi dapat dibangkitkan semula dengan pantas selepas tempoh PKP berakhir.

“Sehubungan itu, saya telah mengarahkan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri untuk merangka Pelan Pemulihan Ekonomi jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang yang menyeluruh”.

“Tumpuan pada masa ini adalah untuk mengenalpasti langkah dan inisiatif yang akan merancakkan pertumbuhan ekonomi jangka pendek dan sederhana, serta mendorong keyakinan rakyat dan pelabur untuk menjana semula ekonomi negara”.

“Antara inisiatif yang sedang dirangka ialah membina keupayaan dan kemahiran rakyat, menggalakkan perbelanjaan domestik, meningkatkan daya tahan industri termasuk PKS, serta memupuk persekitaran pelaburan yang lebih positif untuk masa hadapan,” ujar beliau lagi.