PUTRAJAYA, 26 April – Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham memaklumkan sejumlah 100 kes COVID – 19 telah pulih dan dibenarkan discaj hari ini menjadikan kes pulih yang terkumpul setakat hari ini di Malaysia ialah sebanyak 3,862 kes, iaitu 66.8 peratus dari jumlah keseluruhan kes, manakala tidak ada kes kematian dilaporkan.

Beliau berkata bilangan kes yang dibenarkan discaj pada hari ini ialah sebanyak dua kali ganda daripada bilangan kes yang dilaporkan.

“Sehingga 26 April pukul 12 tengah hari, terdapat 38 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 5,780 kes.

Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,820 kes,” kata beliau pada sidang media COVID-19 di sini pada hari ini.

Beliau berkata jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 98 kes (1.70 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).