Kuala Lumpur – Setelah selesai Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) ini, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, bercadang melakukan kunjungan rasmi ke negara China yang mempunyai industri buluh terbesar di dunia, dengan nilai pengeluaran sebanyak USD39.6 bilion pada tahun 2018 menjadikan penguasaan pasaran buluh dunia sebanyak 58%. Kunjungan ini bagi mempelajari bagaimana industri buluh berkembang begitu maju di negara tersebut.

Menurut Menteri, kunjungan rasmi ini dijangka akan membolehkan beliau merangka satu dasar yang lebih holistik ke arah memajukan industri buluh di negara kita, khususnya bagi membolehkan Malaysia menjadi salah sebuah pengeksport buluh utama di dunia.

“Saya melihat industri buluh ini mempunyai masa hadapan yang sangat cemerlang sekiranya diberikan fokus dan perancangan yang baik serta tersusun. Saya sangat positif dan berkeyakinan tinggi bahawa ia boleh menjadi satu lagi komoditi yang memberi peluang pekerjaan dan pendapatan yang lumayan untuk rakyat dan negara”.