PUTRAJAYA, 27 April – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  memaklumkan sebanyak 10 negeri termasuk dua wilayah tidak merekodkan sebarang kes positif baharu jangkitan COVID – 19 pada hari ini.

Pihak KKM berkata, data yang dikeluarkan setakat jam 12 tengah hari tadi menunukkan negeri tersebut adalah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan dan Wilayah Persekutuan Putrajaya serta Labuan. Kuala Lumpur telah merekodkan kes tertinggi baharu positif Covid-19 dengan jumlah 30 kes.

Dari jumlah itu, empat kes COVID – 19 merupakan kes import yang dikesan daripada rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara. Selain itu, Selangor telah merekodkan empat kes dan Sarawak tiga kes termasuk satu kes import. Manakala Perak, Negeri Sembilan dan Sabah masing-masing mencatatkan satu kes.

Keseluruhan jangkitan baharu hari ini adalah 40 kes termasuk lima kes import. Lima kes import tersebut membabitkan satu kes rakyat yang pulang  dari Indonesia dan Afrika serta tiga kes dari United Kingdom.

Sementara itu, hanya tiga daripada 23 kluster yang masih aktif menunjukkan kes baharu. Setakat hari ini, sebanyak 5,820 kes positif direkodkan di negara ini sejak 25 Januari lalu. Daripada jumlah itu, 1,764 kes masih dirawat dan sebahagian besar iaitu 67.9 peratus (3,957 kes) telah pulih. Seramai 99 kematian akibat Covid-19 direkodkan.