ALOR SETAR, 27 April – Seramai 60 orang pelajar dari universiti awam di zon utara akan dibenarkan pulang ke Lembah Klang mulai esok mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani, memaklumkan kumpulan pelajar tersebut adalah bagi perjalanan fasa pertama ke Lembah Klang sebelum diikuti perjalanan fasa kedua ke destinasi sama pada 12 Mei ini.

Menurut beliau, pelajar hanya akan dibenarkan pulang ke kawasan zon hijau sahaja dan mereka memerlukan surat kelulusan daripada pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan polis. Surat tersebut akan diuruskan pihak beliau.

“Kita juga akan mendapatkan bantuan Pusat Kesihatan UUM bagi memastikan perjalanan pelajar ke zon hijau di Lembah Klang mengikut SOP ditetapkan.

“Secara keseluruhan terdapat kira-kira 3,000 pelajar di zon utara yang dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahmad Bashawir, berkata kesemua perjalanan ini membabitkan bas kecuali untuk pelajar yang memandu kenderaan sendiri yang pulang ke kawasan dalam negeri ini bermula Rabu ini.

“Bagaimanapun pelajar terbabit perlu mendapatkan kelulusan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) terlebih dahulu sebelum memulakan pergerakan.

“Ibu bapa juga tidak akan dibenarkan menjemput anak mereka di universiti,” katanya.

Semalam, Ahmad Bashawir memaklumkan pihaknya telah dilantik oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi merancang, menyelaras dan mengurus penghantaran pulang semua pelajar universiti awam di zon utara.

Ujar beliau, perjalanan pulang pelajar ke Kedah, Perlis dan Pulau Pinang akan dibuat pada 29 April sebelum pelajar berasal dari negeri Pantai Timur bergerak pulang pada 2 Mei ini.

Manakala pergerakan pelajar pulang ke Perak akan dibuat pada 5 Mei dan bagi pelajar ke Johor, Melaka dan Negeri Sembilan pula akan bergerak pada 9 Mei.

Bagi pelajar Sabah dan Sarawak, mereka dijangka bergerak pulang pada awal Mei ini, namun tarikhnya akan ditetapkan kemudian oleh KPT.