PUTRAJAYA: Majlis Keselamatan Negara sedang memperhalusi rumusan prosedur operasi standard (SOP) lebih lengkap yang akan dilaksanakan di zon hijau, sekiranya kerajaan memutuskan untuk memberi kelonggaran kepada kawasan terbabit.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pihaknya sedar ada kawasan yang sudah diisytiharkan sebagai zon hijau dan jika ada kelonggaran di kawasan itu, penduduknya masih lagi perlu mematuhi SOP itu, yang dijangka dimuktamadkan minggu depan.

Antara perkara atau kelonggaran yang boleh diberikan di kawasan berpagar (gated) termasuk membenarkan penduduk keluar dari kawasan masing-masing, namun tidak boleh keluar dari perimeter kawasan mereka.