GERIK – Ketua Polis Perak, Razarudin memaklumkan bahawa Timbalan Menteri Kesihatan Noor Azmi Ghazali dan Exco Perak, Razman Zakaria akan didakwa di mahkamah esok kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP). Mereka memaklumkan akan hadir ke mahkamah majistret Gerik pagi esok hari, ujar beliau. Noor Azmi Ghazali dan Razman Zakaria dijangka didakwa di sana pada pukul 9 pagi.

Noor Azmi Ghazali sebelum ini telah memuat naik gambar di Facebook yang menunjukkan beliau mengunjungi sekolah agama di Lenggong pada 17 April. Di dalam gambar tersebut, beliau dilihat menyumbangkan barangan kepada 20 individu dan dalam gambar itu juga menunjukan beliau sedang menjamu selera bersama 20 individu tersebut tanpa penjarakan sosial, termasuk dengan exco Perak.

Meskipun gambar tersebut telah dipadam dari Facebook tetapi kiriman gambar itu telah tersebar di media sosial. Noor Azmi Ghazali dan Razman Zakaria telah membuat permohonan maaf secara terbuka sebelum ini.

Di bawah Seksyen 7 (1) Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Kawasan Tempatan yang Berjangkit) 2020, seseorang yang melanggar PKP boleh didenda hingga RM1,000 atau dipenjara hingga enam bulan atau kedua-duanya.