Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata UMNO tidak pernah menyertai Perikatan Nasional (PN) kerana ia bukan satu gabungan politik yang berdaftar seperti Barisan Nasional (BN) dan kedudukan parti Melayu itu tidak pernah tergugat.

Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, hubungan UMNO dengan PN ialah hanya satu gabungan untuk menyelamatkan Malaysia disebabkan kemelut politik yang dicetuskan sendiri oleh Pakatan Harapan (PH).

Untuk lebih jelas, gabungan adalah untuk membentuk kerajaan dan mentadbir Malaysia disebabkan kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan dan ia adalah tidak lebih dari itu. Gabungan ini berbeza dengan kerjasama politik UMNO dengan Pas yang dikenali sebagai Muafakat Nasional kerana ia dibuat secara rasmi melalui Piagam Muafakat Nasional dan telah melalui pelbagai proses, termasuk dibincangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO sebelum Piagam tersebut dipersetujui.

Beliau berkata, UMNO, MCA, MIC serta PBRS telah lama berkerjasama melalui BN sebagai sebuah parti politik yang terdaftar.  UMNO dan Pas serta UMNO dan BN mempunyai perjanjian kerjasama politik yang teratur, kemas dan terikat. Matlamatnya ialah untuk membentuk kerjasama politik dan memenangi pilihan raya sebagai sebuah ‘coalition’. Tetapi jika tidak berjaya sekalipun, kerjasama politik itu akan tetap kekal dan berfungsi.

Kerjasama ini telah dibuat melalui pelbagai aktiviti, projek dan program politik bersama di pelbagai peringkat agar MN dan BN semakin mengukuh.

Beliau berkata, UMNO tidak menghadapi sebarang masalah tentang kedudukan dalam PN kerana parti Melayu itu tidak mempunyai apa-apa perjanjian dengan PN apatah lagi PPBM dan GPS. UMNO hanya menyertai kerajaan atas  dasar menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri untuk menyelesaikan kemelut politik Malaysia.

Sebagai parti politik, tugas dan fokus UMNO waktu ini ialah untuk menyediakan parti bagi memenangi pilihan raya akan datang bersama rakannya dalam Muafakat Nasional dan BN.