Kuala Lumpur – Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Dato Dr. Khairuddin Aman Razali, hari ini menerusi Kenyataan Media memaklumkan rancangan Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) untuk memperluaskan lagi pemasaran produk sawit Malaysia.

Menurut Menteri, selain pasaran sedia ada yang akan terus diperkukuhkan terutamanya di India, China dan Kesatuan Eropah, KPPK telah mengenalpasti pasaran baharu yang berpotensi dibangunkan melalui pelaburan langsung atau pelaburan secara usaha sama.

Mengulas lanjut, antara negara yang berpotensi adalah dari rantau Asia Pasifik (Filipina, Vietnam dan Myanmar), Timur Tengah (Mesir, Arab Saudi dan Jordan), negara rantau Afrika (Djibouti, Ethiopia, Somalia dan Mozambique) serta dari Asia Tengah (Afghanistan, Uzbekistan dan Kazakhstan). Anggaran pasaran bagi rantau ini adalah sebanyak 2 juta tan setahun.

Tambahan lagi, sebilangan besar negara-negara tersebut telah menunjukkan minat terhadap pengembangan industri minyak dan lelemak menggunakan minyak sawit Malaysia seterusnya membuktikan keyakinan negara-negara tersebut terhadap kualiti minyak sawit Malaysia.

“Ia juga membuktikan kelebihan Malaysia sebagai pembekal minyak sawit dan boleh dipercayai sebagai rakan kerjasama dalam membangunkan industri minyak sawit dan lelemak berasaskan sawit di negara mereka”.

“Malaysia juga bersedia melaksanakan urusan berkongsi kepakaran dan kemahiran melalui misi perdagangan, penganjuran seminar berkaitan isu teknikal dan ekonomi, pelaksanaan program pengenalan industri sawit Malaysia serta berkongsi tadbir urus industri sawit”.

Menurutnya lagi, KPPK akan terus meningkatkan usaha penerokaan pasaran baharu melalui pelbagai strategi yang bersesuaian dengan negara-negara berkenaan.