PUTRAJAYA, 1 Mei – Pada hari ini COVID-19 masih diparas dua angka dengan mencatatkan 69 kes baharu setakat pukul 12 tengah hari ini, ini menjadikan jumlah terkumpul kes COVID-19 dalam negara setakat hari ini adalah sebanyak 6,071 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah kes baharu tersebut, sebanyak 12 kes adalah dari kes import manakala 57 kes lagi adalah dari penularan tempatan.

Menurutnya pada hari ini juga terdapat 39 kes yang telah sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah. Ini menjadikan jumlah terkumpul kes sembuh adalah sebanyak 4,210 kes iaitu 69.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes manakala 37 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dengan 14 kes memerlukan bantuan pernafasan. 

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,758 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” ujar beliau pada sidang media mengenai COVID-19 di sini, pada hari ini.

Sementara itu Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa hari ini juga terdapat satu kes kematian dilaporkan menjadikan jumlah terkumpul kes kematian COVID-19 di Malaysia 103 kes atau 1.69 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.