Dato’ Dr. Khairuddin Aman Razali – Sambutan Hari Pekerja pada 1hb. Mei setiap tahun merupakan satu peristiwa penting untuk golongan yang bekerja kerana ia adalah satu manifestasi penghargaan negara kepada golongan buruh dan pekerja yang mendedikasikan titik peluh mereka demi menyara diri dan keluarga mereka seterusnya membangunkan sektor ekonomi negara.

Mereka yang percayakan Tuhan meyakini bahawa segala pekerjaan mereka bukan hanya memberikan keuntungan dunia untuk makan dan minum diri serta keluarga, malah juga diberikan ganjaran di alam kedua kerana ia adalah satu sumbangan kepada rantaian kehidupan manusia dan alam semesta dalam usaha memakmurkan dan membangunkan bumi  Tuhan. Allah berfirman dalam al-Quran:

هُوَ أَنشَأَكُم مِّنَ الْأَرْضِ وَاسْتَعْمَرَكُمْ فِيهَا

“Dialah (Tuhan) yang mencipta kamu daripada bumi dan Dia meminta kamu memakmurkannya dengan kehidupan – (Surah Hud ayat 61).

Dunia meraikan Hari Pekerja atau Buruh mulai 1hb Mei 1889 setiap tahun sempena Peristiwa “Haymarket” yang berlaku di Amerika Syarikat di mana buruh hanya dibenarkan bekerja selama 8 jam sehari selepas sekian lama ditindas dengan waktu kerja yang mencengkam kehidupan mereka. 

Di Malaysia, penetapan Sambutan Hari Pekerja atau sinonim dikenali juga dengan Hari BURUH sebelumnya dan digazetkan sebagai cuti umum telah diperkenalkan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 20hb. Mei tahun 1972 iaitu, YAB Tun Dr Ismail.

Khusus kepada tenaga kerja yang terlibat di bidang perladangan dan komoditi, sama ada warga kerja di peringkat pengurusan, pembangunan dan penyelidikan di jabatan dan agensi di bawah Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), pengusaha dan pekerja industri di peringkat hiliran, para peladang di peringkat huluan, berbanggalah kerana anda telah menyumbang kepada kemajuan dan pembangunan ekonomi dan pendapatan negara. Anda telah menyumbang kepada 6% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan RM125.6 bilion pendapatan eksport negara untuk tahun 2019. 

Lebih khusus kepada marhaen dan golongan B40 di peringkat huluan termasuk 977,206 pekebun kecil dan hampir 500 ribu pekerja yang berada di ladang membanting tulang seperti pekerja ladang sawit, penoreh getah, penanam koko, lada, kenaf dan sago termasuklah juga pengusaha kayu kayan, berbanggalah bahawa segala kerja anda memberi manfaat besar kepada manusia. Nabi saw bersabda 

مَا مِنْ رَجُلٍ يَغْرِسُ غَرْسًا إلَّا كَتَبَ اللّٰهُ لَهُ مِنَ الأجْرِ قَدْرَ مَا يَخْرُجُ مِنْ ذلِكَ الغَرْسِ

“Tiada seorang pun yang menanam tanaman melainkan dicatatkan oleh Allah ganjaran menurut kadar hasil yang keluar daripada tanaman tersebut” – (Hadis riwayat Ahmad). 

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menerusi tema kerajaan komited memperjuangkan HAK KEADILAN KEBAJIKAN dan SOSIO EKONOMI bagi semua pekerja di pelbagai peringkat rantaian kerja agar ianya terjamin dan terbela bagi memastikan pembangunan industri berlangsung dengan baik dan bersepadu serta sentiasa diperkasakan.

Mereka yang terjejas pendapatan disokong pendapatan mereka dengan pelbagai insentif di peringkat perladangan disamping beberapa insentif baru yang bakal diperkenalkan. Tenaga buruh di ladang akan diperkasakan lagi kebajikan sosial dan ekonomi mereka. Strategi baru untuk kebajikan dan pembangunan ekonomi para pegawai dan pekerja di jabatan dan agensi KPPK serta pekebun kecil sedang dirangka dan bakal saya umumkan dalam masa terdekat nanti. Semuanya bagi menjamin agihan pulangan ekonomi yang adil kepada semua pekerja. 

Semoga Allah swt merahmati dan memberkati segala pengorbanan para pekerja. Saya mendoakan semoga kita semua dirahmati dengan suasana kehidupan yang lebih baik pasca penyelesaian isu serangan Covid-19 ini.

– Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, 1hb. Mei 2020