KOTA BHARU – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Kelantan telah diminta untuk mengawasi kegiatan perlombongan haram di Kampung Lawang, Tanah Merah yang dilakukan warga asing semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga menyebabkan pencemaran sungai di kawasan tersebut.

Menteri Alam Sekitar Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberi tahu, pihak kementerian tidak akan berkompromi dan menyebelahi dengan mana-mana pihak yang menyebabkan pencemaran sungai.

Beliau memaklumkan keutamaan pihak kementerian adalah untuk mastikan air sungai sentiasa bersih dan tidak tercemar.

Pada jumaat yang lepas, isu ini telah menjadi perhatian selepas penduduk kampung mendapati air sungai telah  tercemar setelah melakukan pemerhatian. Penduduk kampung mendakwa terdapat kira-kira 30 orang warga asing melakukan kegiatan perlombongan haram di kawasan tersebut.

Tuan Ibrahim turut berkata setiap aduan yang diterima berkenaan dengan pencemaran air dan udara akan diteliti secara menyeluruh oleh pihaknya. Beliau juga turut memaklumkan tahap pencemaran bagi kedua-dua unsur tersebut telah berkurangan susulan pelaksanaan PKP.

“Pencemaran sampah di Sungai Klang berkurangan 50 peratus berbanding sebelum PKP dan pemantauan terhadap udara sangat baik. Cuma sungai ada banyak faktor lain yang sebabkan pencemaran seperti hakisan tanah akibat hujan,” ujar beliau semasa bertemu dengan pihak media selepas menyerahkan 11 Gerobok COVID-19 kepada Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin di Wisma Persekutuan.

Gerobok ini telah dihasilkan oleh Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma) dari sumbangan peribadi Tuan Ibrahim dan pihak NGO bagi membantu petugas barisan hadapan membuat saringan terhadap individu yang disyaki dijangkiti COVID-19.

“Gerobok dapat menyekat virus COVID-19 daripada terkena secara terus kepada pengendali kerana ia mempunyai pengaliran udara yang positif,” katanya.