KUALA LUMPUR – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim berkata, Pakatan Harapan (PH) masih terbuka untuk menerima kembali Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) jika PPBM mahu kembali semula menyertai PH. Beliau mengingatkan supaya kesilapan lalu tidak berulang.

Anwar berkata, keputusan tersebut harus dibuat oleh PPBM, ini kerana PPBM telah terbahagi kepada dua sekarang. Keputusan untuk menyertai PH mesti dibuat sebagai satu parti.

“PH mengambil sikap terbuka, tapi harus patuh kepada agenda perubahan termasuk reformasi yang dipelopori dalam PH, termasuk sistem menolak sistem korup dan kita tidak mahu mengulangi kesilapan-kesilapan yang lalu,” ujar beliau melalui siaran langsung di Facebook, pada hari ini.

Beliau telah diminta untuk mengulas mengenai kenyataan dari Timbalan Presiden PPBM, Mukhriz Mahathir berkata PPBM perlu kembali menyertai PH bagi memastikan parti itu terus mendapat tempat semasa pilihan raya umum akan datang.