PUTRAJAYA, 5 Mei – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini telah merekod sebanyak 30 kes baharu COVID – 19, ini menjadikan kes positif terendah sejak gelombang kedua pandemik itu melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kesemua kes baharu tersebut melibatkan penularan kes tempatan.

Beliau berkata, dengan penambahan tersebut, jumlah terkumpul positif Covid-19 adalah sebanyak 6,383 kes.

“Daripada jumlah itu, hanya 1,710 pesakit masih dirawat di hospital dan 24 daripada junlah tersebut telah dirawat di unit rawatan rapi (ICU) serta lapan pesakit memerlukan bantuan pernafasan,” ujar beliau pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya pada hari ini.

Beliau turut memaklumkan sebanyak 83 pesakit  COVID – 19 telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj pada hari ini.

“Ini menjadikan jumlah terkumpul kes COVID – 19 yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 4,567 kes bersamaan 71.55 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Bagaimanapun Dr Noor Hisham berkata, terdapat satu kematian dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat CPRC Kebangsaan pada hari ini.