PUTRAJAYA – Kerajaan telah mengambil maklum tentang pandangan Majlis Presiden Pakatan Harapan berkenan tempoh persidangan Parlimen yang akan bersidang pada 18 Mei 2020 nanti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Takiyuddin bin Hassan berkata kerajaan mengambil pendirian bahawa sebarang bentuk perhimpunan masih belum sesuai diadakan pada masa ini dalam rangka mengurangkan risiko jangkitan COVID-19. Oleh itu, sidang Parlimen yang dijadualkan berlangsung pada 18 Mei 2020 wajar dikekalkan pada satu hari sahaja.

Beliau berkata, susunan kedudukan Ahli-Ahli Parlimen di dalam Dewan Rakyat juga akan diubah suai untuk mengamalkan penjarakan sosial bagi menjamin semua ahli Dewan dapat mengambil bahagian dalam ruang lingkup SOP yang ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Memandangkan kesan yang dialami oleh rakyat perseorangan, peniaga dan juga syarikat-syarikat ekoran penularan wabak COVID-19, Kerajaan telah bersetuju mengemukakan beberapa Rang Undang-Undang yang berkaitan bagi dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang iaitu pada bulan Julai 2020.” katanya melalui satu hantaran Facebook.