PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semalam telah membuat satu laporan polis berkenaan fitnah yang mendakwa lima orang pegawai Menteri dan Kementerian telah ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Laporan itu telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Putrajaya ekoran terdapat beberapa hantaran di Facebook bernama ‘Teuku Shafiz Rullah’, ‘STEADYAKU47’ dan Twitter ‘Fadzilah Mamat@fadzilahmamat’.

Hantaran di Facebook dan Twitter tersebut mendakwa pihak SPRM telah menahan dua pegawai kanan Menteri Kesihatan dan tiga pegawai kementerian. Antara hantaran lain mendakwa “Menteri Kesihatan juga terlibat” dalam siasatan SPRM terhadap syarikat yang memperolehi kontrak bernilai RM30 juta.

Selain itu, KKM berharap pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dapat melakukan siasatan terhadap pemilik akaun Facebook dan Twitter berkenaan serta mengambil tindakan sewajarnya.

Sebelum ini telah tersebar satu mesej mengenai penahanan lima individu terdiri daripada pegawai kanan, setiausaha kerja, kontraktor dan ketua parti politik bagi membantu siasatan ke atas pembelian khas sistem ujian dan peralatan perubatan bernilai RM30 juta untuk menangani wabak Covid-19.