KUALA LUMPUR, 7 MEI – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini telah bersetuju melantik Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Pembangkang.

Perkara ini telah dimaklumkan kepada Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Shafie Apdal.

Ketua Sekretariat PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memberi tahu, surat rasmi telah dihantar kepada pejabat Yang di-Pertua Dewan Rakyat pada 4 Mei, dan satu lagi surat rasmi telah dihantar kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) pada 7 Mei.

Majlis Presiden Pakatan Harapan telah bermesyuarat pada 21 Mac dan 26 April yang lalu dan antara isu yang dibincangkan ialah berkenan isu jawatan Ketua Pembangkang.

“Secara amnya, jawatan Ketua Pembangkang akan diberi kepada parti yang mempunyai jumlah Ahli Parlimen paling ramai di dalam blok pembangkang. Pada masa yang sama, pemilihan Ketua Pembangkang dilakukan dengan mengambil kira pandangan ke semua Ahli Parlimen di blok pembangkang,” ujar beliau.

Beliau berkata, DAP telah memberitahu kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan bahawa mereka tidak akan menjawat jawatan Ketua Pembangkang walaupun DAP mempunyai ahli parlimen paling ramai.