SHAH ALAM, 7 Mei – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini telah maklum mengenai kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini berikutan penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun telah meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur, pagi tadi.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, SPR sedang menunggu kenyataan rasmi daripada Speaker DUN Pahang sebelum mengambil sebarang tindakan selanjutnya untuk mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut.

“SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut. Tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian oleh pihak SPR,” ujar beliau sebentar tadi.

Sementara itu, pihak SPR turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Abu Bakar dan berharap keluarga Allahyarham tabah menghadapi kehilangan orang yang tersayang.