KUALA LUMPUR, 8 Mei – Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Mohd Yusof, hari ini memberitahu pihaknya telah menerima usul undi tidak percaya dari Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, usul berkenan dikemukakan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 4 Mei lalu di bawah Peraturan Mesyuarat 26(1) dibaca bersama Peraturan Mesyuarat 27(3).

“Satu usul di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) yang membangkitkan iaitu: Mengemukakan resolusi untuk membuat ketetapan bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Ahli Yang Berhormat Pagoh tidak mempunyai majoriti ahli-ahli yang berhormat Dewan Rakyat,” ujar beliau dalam satu kenyataan melalui Facebook Parlimen Malaysia.

Beliau berkata usul tersebut telah diterima di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3) dan akan dibawa ke mesyuarat Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat dijangka bersidang sehari pada 18 Mei ini sebelum dijangka disambung semula pada Julai nanti.