PUTRAJAYA, 10 Mei – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan terdapat sebanyak 67 kes baharu wabak COVID-19 dicatatkan pada hari ini dengan 49 kes adalah kes dari bukan warganegara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah terkumpul kes jangkitan wabak COVID-19 di negara ini meningkat kepada 6,656 orang.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat 96 kes yang telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan keluar pada hari ini menjadikan jumlah terkumpul kes yang telah pulih sepenuhnya daripada Covid-19 dan dibenarkan keluar dari wad adalah sebanyak 5,025 kes atau 75.5 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” ujar beliau pada sidang akhbar mengenai Covid-19 di kementeriannya pada hari ini.

Katanya, ketika ini jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,523 orang.

Beliau turut memaklumkan bahawa hari ini tiada kematian akibat Covid-19 direkodkan menjadikan jumlah terkumpul kes adalah sebanyak 108 orang.