ALOR SETAR, 10 Mei –  Seramai 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS dan UMNO pada hari ini telah mengadakan perjumpaan tertutup selama tiga jam bersama pimpinan PAS Pusat di Kompleks PAS Kedah.

Perjumpaan yang bermula pada 10 pagi itu turut dihadiri Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan, Pesuruhjaya PAS Kedah Ahmad Yahaya dan Pengerusi UMNO Kedah Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Ahmad Samsuri berkata pelbagai isu telah  dibincangkan termasuk berkaitan kedudukan kerajaan negeri, namun beliau enggan mengulas lebih lanjut mengenai perkara tersebut.

“Calon Menteri Besar terpulang kepada Tuanku (Sultan Kedah), sekarang Kedah masih ada Menteri Besar. Buat masa ini, Datuk Seri Mukhriz masih Menteri Besar,” ujar beliau ketika ditemui di Kompleks PAS Kedah pada hari ini.

Rabu lalu, PAS Kedah dilaporkan bersedia  untuk mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri Kedah melalui kerjasama Muafakat Nasional PAS-UMNO selain mendakwa wujud permasalahan dalam di kalangan ADUN Pakatan Harapan (PH).

Pada masa ini PAS mempunyai 15 kerusi di Dewan Undangan Negeri Kedah dan UMNO dua kerusi, sementara kerajaan negeri yang diterajui Bersatu dan PH memiliki 19 kerusi.