ISNIN, 11 Mei – Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali telah melakukan lawatan kerja ke ibu pejabat Guan Chong Berhad (GCB) yang terletak di Pasir Gudang, Johor. Lawatan ini bertujuan untuk melihat dan memantau perjalanan industri koko di Malaysia.

Guan Chong Berhad yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Brandon Tay Hoe Lian memberikan penerangan dan maklumat berkenaan hasil koko yang diproses dan merupakan bahan utama coklat. Beliau juga turut melawat kilang pemprosesan koko GCB dan melihat sendiri bagaimana pemprosesan koko dan penggredan koko dilaksanakan.

GCB merupakan syarikat pengisar koko terbesar di Malaysia. Merupakan pengisar keempat terbesar di dunia dengan kapasiti pengisaran sebanyak 250,000 tan metrik setahun dan merupakan pembekal utama kepada syarikat-syarikat coklat dan industri makanan dan minuman (F&B) seperti Nestlé, Mars, Hershey’s dan Cadbury.

“Dengan lawatan ini, ianya berjaya meningkatkan kerjasama yang sedia terjalin ke satu tahap yang lebih baik terutama antara Kementerian dengan pihak industri bagi merancakkan lagi pembangunan industri koko dan pembuatan coklat diMalaysia. Pasir Gudang akan menjadi hub industri koko .” katanya lagi.