ALOR SETAR, 12 Mei – Perikatan Nasional Kedah hari ini mengumumkan telah miliki majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan negeri baharu selepas mendapat sokongan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri termasuk dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, 23 ADUN tersebut adalah daripada PAS (15), BERSATU (4), UMNO (2) dan selainnya ADUN BEBAS yang juga bekas ADUN PKR.

Beliau berkata, kesemua mereka telah hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan beliau hilang kuasa mentadbir negeri.