KKM sedang mengkaji kaedah bagi membenarkan pesakit melakukan temu janji bersama doktor mengikut SOP yang ditetapkan.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mengkaji kaedah bagi membenarkan pesakit melakukan temu janji bersama doktor mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, pihaknya sedang melihat kepada beberapa idea dan inovasi yang berupaya untuk mengurangkan kesesakan di hospital pada satu masa supaya penjarakan sosial dapat dilaksanakan dengan baik.

“Sekarang kita sedang melihat bagaimana kita dapat melaksanakan janji temu pesakit dan memastikan kita hanya berjumpa pesakit apabila perlu.

“Pesakit yang datang ke hospital atau klinik, mereka mesti menunggu di dalam kereta mereka terlebih dahulu.

“Jadi apabila sudah tiba masa temu janji mereka, kemudian itu mereka akan berjumpa dengan doktor,” jelas Dr Noor Hisham pada sidang media KKM di Putrajaya pada Selasa. 

Sementara itu, beliau menekankan bahawa pihaknya di KKM sedang berusaha untuk melihat kepada beberapa idea dan inovasi untuk memastikan bahawa langkah-langkah tersebut dilakukan mengikut SOP.

“Ia bermula di klinik contohnya temu janji secara alam maya dan kami juga menyediakan perkhidmatan, yang mana anda tidak perlu datang ke hospital untuk mengambil ubat tetapi kami memberikan ubat kepada anda.

“Sekarang kita sedang melihat perkhidmatan, yang boleh memberikan khidmat terhadap kesihatan ibu dan anak-anak. Baru-baru ini, kami menyediakan penjagaan selepas bersalin untuk berapa orang.