IPOH: Pelantikan Speaker dan Timbalannya yang baharu berjalan lancar ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak melalui usul untuk menggantikan Speaker dibangkitkan Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu

Bekas EXCO Perak daripada Umno, Dato’ Mohammad Zahir Abdul Khalid dilantik sebagai Speaker DUN menggantikan Dato’ Ngeh Koo Ham, manakala ADUN Kubu Gajah Ustaz Khalil Yahya menggantikan ADUN Behrang, Aminuddin Zulkipli.

Kedua-duanya mengangkat sumpah selepas majlis istiadat perasmian Mesyuarat Pertama Tahun Ketiga Dewan Negeri Perak Ke-14 di Dewan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini semalam.

Perasmiannya telah disempurnakan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfurlah yang turut menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan.

Menurut Pengarah Komunikasi Strategik (STRATCOM), Ustaz Hafez Sabri, berlaku sedikit kekecohan seketika apabila usul yang dibangkitkan pada awalnya enggan diterima Koo Ham.

“Speaker menyatakannya, berdasarkan Perintah Tetap DUN Perak kerana pencalonan untuk jawatan Speaker DUN hanya boleh dibuat jika terdapat kekosongan, walhal usul penggantian Speaker telah disokong majoriti ADUN.

“Setelah didesak, Koo Ham akhirnya akur dan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Speaker DUN Perak untuk mengosongkan jawatan tersebut dan kemudiannya mengumumkan penangguhan mesyuarat dan semua ADUN pembangkang keluar Dewan.

“Persidangan kali ini tidak membenarkan liputan media di saat akhir dan hanya membenarkan media rasmi untuk berada di dalam Dewan kecuali sewaktu perasmian,” ujar beliau.

Katanya lagi, sidang DUN melantik ADUN Sungai Manik, Dato’ Zainol Fadzi Paharudin mempengerusikan sementara dan mengumumkan Mohammad Zahir sebagai Speaker DUN yang baharu disokong penuh semua ADUN kerajaan dan tiga ADUN bebas.

Kemudiannya ADUN Kubu Gajah, Khalil Yahaya yang dicalonkan sebagai Timbalan Speaker DUN Perak baharu turut mendapat undian sebulat suara ADUN kerajaan dan bebas.

Beliau turut memaklumkan persidangan semalam, tiga wakil rakyat lagi dilantik sebagai EXCO Kerajaan Perak yang baharu iaitu ADUN Lintang, Dato’ Zolkafly Harun; ADUN Bota, Khairul Shahril Mohamed dan ADUN Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud.