PUTRAJAYA – Kementerian Alam Sekitar dan Air memaklumkan telah mengambil tindakan terhadap 160 kilang sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan kerana melakukan pencemaran sungai.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, 160 kilang tersebut telah diambil tindakan termasuk dikenakan kompaun, gantung operasi dan sebagainya.

Beliau berkata, sepanjang pelaksanaan PKP selama dua bulan, terdapat dua pencemaran sungai dalam skala yang besar telah berjaya dikesan.

“Kedua-dua kilang tersebut iaitu kilang menjalankan operasi pembuatan sarung tangan getah dan pemprosesan kelapa sawit telah diambil tindakan termasuklah gantung operasi selama dua minggu dan denda.

“Walaupun kita tahu pembuatan sarung tangan getah dalam tempoh wabak koronavirus (Covid-19) ini sangat diperlukan di seluruh dunia tetapi kita tetap tidak berkompromi dengan mereka yang melakukan pencemaran alam sekitar terutamanya sumber air,” ujar beliau pada sidang media pelepasan Ops Air Raya di kementerian semalam.