PUTRAJAYA, 15 Mei – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini pada 4 Julai.

Manakal hari penamaan calon telah ditetapkan pada 20 Jun dan hari mengundi awal ialah pada 30 Jun.

Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun berkata, tempoh untuk berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari selepas pengisytiharan calon yang bertanding sehingga 11.59 malam pada 3 Julai.

Beliau berkata, SPR telah perbincangan dengan Majlis Keselamatan Negara, Agensi Pengurusan Bencana Negara, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Polis Diraja Malaysia mengenai prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan PRK tersebut.

“SPR akan memastikan setiap proses dalam urusan PRK ini selari dengan langkah-langkah kawalan penyebaran wabak Covid-19 sebagaimana yang dinasihatkan oleh KKM,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media pada hari ini.

Menurut beliau, Pihak SPR telah mencadangkan langkah kawalan antaranya ialah mengehadkan jumlah pemilih dari 600 ke 400 orang pemilih sebelum ini bagi setiap saluran pengundian.

“Pengundi adalah digalakkan untuk keluar mengundi dalam tempoh waktu tersebut untuk pematuhan penjarakkan sosial dan mengurangkan kesesakan di pusat mengundi serta saluran mengundi,” ujar beliau.

Bagi peraturan berkempen, SPR akan berpandukan SOP dan peraturan yang dikuatkuasakan untuk sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Dianggarkan, PRK kali ini memerlukan peruntukkan sebanyak RM4.3 juta.