KANGAR, 16 Mei – Jabatan Mufti Negeri Perlis pada hari ini telah mengumumkan garis panduan untuk sambutan Aidilfitri di Perlis sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

Menurut Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), garis panduan tersebut telah mendapat perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

“Panduan dikeluarkan selaras dengan tuntutan untuk membesarkan sambutan Aidilfitri, serta keperluan untuk disesuaikan dengan situasi penularan wabak semasa.

“Ia dibuat setelah mengambil kira dan mempertimbangkan pandangan-pandangan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” menurut MAIPs.

Menurut MAIPs, solat sunat Aidilfitri di Perlis pada tahun ini tidak dilakukan di masjid, sebaliknya boleh dibuat di rumah masing-masing bersama ahli keluarga.

Menurut MAIPs, isi kandungan panduan tersebut adalah berkenan takbir hari raya, solat hari raya, khutbah hari raya, amalan sunat hari raya dan kewajipan menunaikan zakat fitrah.