Walaupun tahun ini suasananya berbeza; para guru mungkin tidak diraikan dalam majlis dan tidak menerima hadiah langsung daripada murid dan pelajar seperti selalu sebagai tanda penghargaan, namun guru tetap menjadi insan yang teristimewa dalam sanubari kami semua.

Jasa para guru terlalu besar sehingga tetap tidak terbalas walaupun dengan sebarang tanda. Hanya kejayaan yang kita raih sahajalah yang dapat melegakan penat lelah para guru yang telah mengajar dan mendidik kita semua.

Para guru bukanlah mengharapkan kejayaan muridnya itu apabila berjawatan tinggi dan bergaji besar semata-mata; sebaliknya memadailah sekiranya kita memanfaatkan ilmu yang mereka curahkan, berpekerti mulia dan menyantuni sekalian manusia demi meraih reda Tuhan Yang Maha Esa.

Buat para guru di semua peringkat sekolah dan institusi pendidikan, saya ucapkan jazākumullah atas semua sumbangan dan pengorbanan yang telah anda berikan selama ini dan pada masa akan datang.

Selamat Hari Guru

“Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu”

DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI
Menteri Perusahaan Perladangan & Komoditi