ALOR SETAR, 16 Mei – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dijangka akan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Kedah ke-14, pada 17 Mei iaitu pada hari esok.

Majlis angkat sumpah akan diadakan pada sebelah petang sebelum satu sidang media yang akan diadakan di Kompleks PAS Kedah.

Tinjauan pemberita di Wisma Darul Aman pada hari ini, mendapati, persiapan majlis angkat sumpah itu giat dilakukan kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah.

Sementara itu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dijangka akan mengumumkan kedudukannya sebagai Menteri Besar Kedah pada satu sidang media di Wisma Darul Aman pada pagi esok.

Beliau akan membuat pengumuman mengenai kedudukan kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) dengan Bersatu.

Selasa lalu, Perikatan Nasional (PN) Kedah telah mengumumkan penubuhan kerajaan negeri baharu, selepas mendapat sokongan 23 Ahli Dewan Undangan Negeri termasuk daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia.