ALOR SETAR, 17 Mei – Datuk Seri Najib Razak didakwa menjadi punca kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan di Kedah dan menyebabkan Datuk Seri Mukhriz Mahathir hilang jawatan sebagai Menteri Besar buat kali kedua.

Menurut Mukhriz, walaupun arahan untuk menjatuhkan beliau sebagai Menteri Besar datang daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi  Bersatu Malaysia (Bersatu), namun, Najib adalah individu di belakang rancangan tersebut.

“Walaupun arahan untuk menjatuhkan saya di Kedah datang daripada Presiden Bersatu melalui Datuk Seri Hamzah Zainuddin, tetapi protagonis sebenar masih orang yang sama dengan dulu iaitu Najib Razak.” ujar beliau.

“Tujuannya tidak lain tidak bukan semata-mata membebaskan dirinya daripada pertuduhan pecah amanah 1MDB, SRC International dan banyak lagi skandal mega yang mencemar nama baik Malaysia di persada dunia.

“Lihat saja apa sudah jadi pada kes pengubahan haram pada anak Rosmah Mansor iaitu Riza Aziz yang dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pendakwaan jenayah itu,” ujar Mukhriz.

Mukhriz yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Jerlun berkata sedemikian dalam satu sidang media di Wisma Darul Aman, Kedah pada hari ini.