KUALA LUMPUR, 16 Mei – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas sekali lagi pada hari ini telah menafikan yang beliau bertanggungjawab membuat keputusan untuk menggugurkan pertuduhan kes pengubahan wang haram terhadap Riza Shahriz Abdul Aziz, yang juga anak tiri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Merujuk kepada kenyataan akhbar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 14 Mei yang menyebut antara lain bahawa persetujuan antara pihak pendakwaan dan tertuduh melalui representasi di mahkamah ini adalah keputusan yang dipersetujui oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas, beliau berkata, ia adalah satu pembohongan.

Thomas memberitahu bahawa satu-satunya keputusan yang dibuatnya dalam kes itu selain mendakwa Riza ialah melantik Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pendakwaan.

“Selepas itu saya menyerahkan tugas untuk mengendalikan kes itu kepada beliau dan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dari Jabatan Peguam Negara (AGC) yang membantu Sri Ram,” ujar beliau.

Beliau berkata melalui surat bertarikh 18 November 2019, peguam yang mewakili Riza telah menyerahkan satu representasi memohon semakan terhadap pertuduhan jenayah yang dikemukakan terhadap anak guam mereka.

“Representasi bertulis diterima oleh AGC setiap hari daripada peguam tertuduh yang berdepan perbicaraan dan rayuan bagi kes jenayah. Oleh itu, tiada apa yang pelik tentang representasi daripada peguam Riza. Sama ada saya secara peribadi bertindak menyetujui permintaan mereka untuk mendapatkan pembebasan adalah isu berbeza. Saya tidak berbuat demikian. Ia adalah sesuatu yang jelas dan mudah.

“Surat ini telah diserahkan kepada Gopal Sri Ram untuk diteliti dan mencadangkan satu respons kepada saya,” kata beliau.

Namun, Thomas menegaskan tiada perkembangan lain yang berlaku selepas itu berhubung pendakwaan.

“Justeru, saya tidak membuat keputusan mengenai representasi Riza sebelum peletakan jawatan saya,” kata beliau.

Kenyataan SPRM itu menyebut bahawa pendakwaan telah memohon kepada Mahkamah Seksyen di sini agar Riza dilepas tanpa dibebaskan daripada beberapa pertuduhan yang dikemukakan terhadapnya pada 5 Julai 2019.

SPRM menyatakan bahawa pembebasan itu adalah bersyarat dan pendakwaan berhak mengembalikan pertuduhan dan mendakwa tertuduh sekiranya tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan yang dicapai.

“Hasil keputusan ini, kerajaan Malaysia dijangka menerima semula aset-aset di luar negara yang terlibat daripada kesalahan berkenaan iaitu dianggarkan berjumlah AS$107.3 juta (RM465.3 juta),” kata SPRM.

Thomas, yang telah memberikan maklum balas segera terhadap kenyataan SPRM itu berkata, beliau tidak bertanggungjawab dalam isu Riza dilepas tanpa dibebaskan dan mengeluarkan kenyataan pada hari ini untuk mengulangi pendiriannya mengenai perkara tersebut.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan kemudian, SPRM memaklumkan persetujuan antara pihak pendakwaan dan Riza adalah ‘keputusan yang dipertimbangkan dan dipersetujui’ oleh Thomas.