BANGUNAN PARLIMEN, KUALA LUMPUR – Negara kini berhadapan dengan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, kejatuhan harga minyak, perang perdagangan khususnya antara Amerika Syarikat dan China, halangan dan sekatan perdagangan oleh negara tertentu, komoditi yang dikaitkan dengan isu alam sekitar, pergolakan politik di beberapa negara, dan yang terbaharu penularan wabak COVID-19. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Majlis Parlimen ke-14 pada 18 Mei 2020 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

Namun begitu, Baginda bertitah bahawa Baginda yakin terhadap inisiatif-inisiatif kerajaan termasuk memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi prihatin rakyat bagi maksud memberi tumpuan serta membantu syarikat dan perniagaan yang terkesan teruk seperti industri perusahaan kecil dan sederhana.

“Kerajaan beta akan meneruskan usaha untuk membangunkan industri komoditi berasaskan pertanian secara lestari dengan sokongan penyelidikan dan pembangunan berkualiti, di samping meningkatkan permintaan pasaran termasuk di peringkat antarabangsa”.

“Bagi meningkatkan lagi hasil pertanian dan jaminan sekuriti makanan negara, penekanan perlu diberikan kepada automasi, penggunaan teknologi moden, benih berkualiti, pembajaan dan pengairan, kawalan penyakit serta konsolidasi kawasan pertanian”.