SHAH ALAM, 20 Mei – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar pihak yang menyunting klip audio Mesyuarat Majlis Tertinggi (MPT) Bersatu pada 23 Februari lalu untuk menyiarkan rakaman penuh audio tersebut.

Ahli Parlimen Langkawi berkata, klip audio itu telah disunting menunjukkan yang beliau telah bersetuju untuk Bersatu keluar dari Pakatan Harapan (PH) dan ia adalah berniat jahat.

“Ada yang berniat jahat menyebarkan klip audio saya yang jelas disunting.‬ Saya cabar mereka keluarkan rakaman penuh mesyuarat MPT,” ujar beliau dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya hari ini.

Semalam, klip audio tersebut telah tular di media sosial dan di kongsi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dua audio tersebut dikaitkan dengan mesyuarat Bersatu itu sebelum ini telah tular di media sosial.

Dalam klip audio pertama yang bocor, individu dengan suara mirip Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberitahu mesyuarat supaya memberikan kepercayaan kepada Mahathir untuk menentukan kedudukan Bersatu dalam PH.

Klip audio kedua pula merakamkan suara mirip Mahathir meminta mesyuarat tidak memaksanya untuk mungkir janji meletakkan jawatan.

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, beliau kekal setia bersama PH yang sebelum ini telah berjuang bersama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

‪”Saya kekal setia bersama rakan rakan yang berjuang dengan saya sebelum PRU14.‬ Kalau betul saya mahu mengkhianati mandat rakyat, saya boleh lakukan dahulu apabila dicalonkan sebagai Perdana Menteri Perikatan Nasional.‬ ‪Saya tolak dan senang, kita bersama,” ujar beliau.