KUALA LUMPUR – Harga pasaran minyak sawit dijangka mengukuh semula susulan India kembali membeli minyak sawit dari Malaysia setelah empat bulan memberhentikan pembelian, kata Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali kepada sidang media hari ini.

Mengulas lanjut, Menteri, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali memaklumkan bahawa perubahan pendirian kerajaan India untuk tidak melanjutkan sekatan import terhadap minyak sawit ditapis serta kesediaan kerajaan Malaysia memastikan jurang dagangan kembali rapat telah membantu meningkatkan import negara berkenaan.

Menurut beliau lagi, faktor lain yang menyumbang kepada peningkatan import adalah harga pasaran minyak sawit mentah yang kini berada di bawah paras pencukaian duti eksport Malaysia.

“Perkembangan hubungan diplomatik kini bertambah baik dengan kontrak belian minyak sawit bagi Jun dan Julai 2020. Kerajaan menjangkakan situasi ini memberikan impak positif ke atas industri sawit dan ekonomi negara”.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, merujuk kepada data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), eksport minyak sawit Malaysia ke India pada Januari hingga April 2020 menunjukkan penurunan drastik hampir 94 peratus kepada 96,145 tan berbanding tempoh yang sama 2019 dengan jumlah eksport pada 1.6 juta tan.

Namun begitu, minyak sawit yang didagangkan di Bursa Malaysia mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 47 peratus kepada 66,427 lot semalam berbanding purata 45,200 lot setiap hari sepanjang minggu lepas, katanya.

“Semoga dengan perkembangan terbaharu ini, India akan terus mengimport minyak sawit Malaysia bagi memenuhi keperluan minyak sayuran dan lelemak negaranya,” kata beliau.

Beliau berkata Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bersama MPOB dan Majlis Minyak Sawit Malaysia giat berusaha sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dengan mengadakan beberapa siri rundingan secara maya untuk menarik pengimport dari India agar membeli minyak sawit Malaysia.

India merupakan antara rakan dagang terpenting Malaysia dalam sektor agrikomoditi. Negara itu juga ialah pengimport terbesar minyak sawit dan produk berasaskan sawit pada 2019 dengan jumlah sebanyak 4.5 juta tan minyak sawit dan produk berasaskan sawit bernilai RM9.8 bilion. Jumlah eksport ini meningkat kira-kira 67 peratus berbanding pada 2018 dengan jumlah eksport sebanyak 2.7 juta tan.

Eksport komoditi ini mengalami penurunan selepas jalinan di antara kedua-dua negara menjadi tegang susulan pertikaian politik yang dikaitkan dengan kritikan ke atas tindakan New Delhi di Kashmir serta undang-undang kewarganegaraan baru. Namun, atas usaha kerajaan, pertikaian tersebut telah berjaya diselesaikan.

Menteri KPPK menegaskan bahawa kerajaan Malaysia komited menjaga hubungan baik dengan kerajaan India bagi meningkatkan lagi hubungan diplomatik dan perdagangan kedua-dua negara. Hubungan ini perlu supaya kepentingan kedua-dua pihak dapat dipelihara dan rakyat dapat menikmati hasilnya.