PENIAGA di Pasar Taman Tun Dr Ismail (TTDI) Kuala Lumpur dikompaun RM2,500 kerana menjual ayam melebihi harga kawalan pada hari pertama pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP), Rabu lalu.

Peniaga terbabit menjual ayam pada harga RM9 sekilogram berbanding RM7.50 seperti yang ditetapkan kerajaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, peniaga itu diberi masa selama 14 hari untuk membayar kompaun berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPDNHEP sudah merampas barang kawalan bernilai RM26.22 juta sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu sehingga semalam.

Katanya, kementerian akan terus meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan ke atas bekalan dan harga barangan di seluruh negara.