PUTRAJAYA – Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) bersama dengan Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) mengadakan perbincangan berkenaan hala tuju industri sawit Malaysia-Indonesia menerusi satu Perjumpaan Rasmi pada 19 Mei yang lalu.

Antara yang dibincangkan adalah usaha mempertingkatkan kerjasama Malaysia dengan CPOPC serta komitmen dan tindakan Malaysia dalam memperjuangkan isu- isu berkaitan kempen anti-minyak sawit bagi maksud menjaga kepentingan industri tersebut.

Selain itu, turut dibincangkan cadangan mengatasi isu berkaitan harga minyak sawit mentah rendah yang memberi kesan kepada pihak berkepentingan terutama pekebun-pekebun kecil dan pihak industri.

CPOPC yang merupakan organisasi pengeluar sawit telah ditubuhkan bersama oleh Malaysia dan Indonesia pada tahun 2015 bagi memperjuangkan isu-isu berkaitan dengan industri sawit. Sebagai negara pengeluar terbesar dan kedua terbesar di dunia, Indonesia dan Malaysia komited mencari kesepakatan dalam membangunkan industri sawit selain menjaga kepentingan industri berkenaan kepada kedua-dua negara.

Sehubungan dengan itu, dalam tempoh terdekat ini, Columbia dan Ghana dijangka akan menyertai CPOPC secara rasmi. Beberapa negara lagi telah menunjukkan minat untuk menganggotai CPOPC yang kini dipengerusikan oleh Malaysia sehingga 31 Disember 2020.

KPPK turut menzahirkan penghargaan kepada Sekretariat CPOPC dan berharap ia akan menjadi jambatan kepada hubungan baik antara Malaysia dan Indonesia.