PUTRAJAYA, 24 MEI – Kementerian kesihatan hari ini memaklumkan kes positif Covid-19 menunjukkan peningkatan berbanding semalam apabila 60 kes baharu telah dilaporkan. Dari 60 kes tersebut, tujuh daripadanya adalah kes import dimana pesakit mendapat jangkitan dari luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan ini menjadikan jumlah terkumpul kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,245 kes.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,185. Ingin dimaklumkan daripada 60 kes baharu yang dilaporkan, tujuh adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

“Daripada 53 kes penularan tempatan, 44 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 27 kes bukan warganegara Malaysia telah dikesan di Depot Tahanan Imigresen (DTI) di Semenyih dan enam kes di sebuah kluster baharu di DTI Sepang,” ujar beliau dalam kenyataan pada hari ini.

Beliau memaklumkan terdapat 33 kes yang telah pulih sepenuhnya pada hari ini, ini menjadikan jumlah keseluruhan kes yang pulih sepenuhnya daripada wabak itu dan dibenar keluar dari wad adalah 5,945 kes.

Dr Noor Hisham turut berkata tiada kematian dtelah dilaporkan pada hari ini menjadikan jumlah terkumpul kes kematian Covid-19 di Malaysia kekal sebanyak 115 kes atau 1.59 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau berkata sehingga kini terdapat sembilan kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah tersebut, empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan meskipun hari ini merupakan sambutan Aidilfitri dan cuti umum di Malaysia, ramai anggota barisan hadapan masih bertugas.

“Jika sebelum ini masyarakat bergantung kepada anggota barisan hadapan untuk membendung penularan Covid-19, kini anggota barisan hadapan pula mengharapkan masyarakat dapat memainkan peranan lebih besar dalam memerangi wabak Covid-19,” ujar beliau.