PUTRAJAYA – Nasib para penggiat industri kreatif tempatan yang terkesan dari sudut ekonomi susulan pandemik COVID-19 yang melanda, diberi perhatian oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM).

Selaras dengan SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kerajaan tetap komited memastikan usaha menjana semula kestabilan ekonomi penggiat dan karyawan seni kreatif tempatan diteruskan, ujar Menteri, Dato’ Saifuddin Abdullah kepada sidang media pada 22 Mei yang lalu.


“Semalam saya bersama-sama dengan pegawai KKMM telah mengadakan
perbincangan dengan wakil-wakil dari Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya (MOTAC), Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Jabatan Penyiaran (RTM), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), dan MY Creative Ventures berhubung langkah-langkah yang boleh diambil oleh Kerajaan bagi
membantu penggiat dan karyawan seni kreatif terutamanya yang berskala kecil untuk memulakan semula aktiviti masing-masing dalam jangka masa pendek, iaitu 6 bulan”.


Mengulas lanjut, beliau menyatakan input-input daripada perbincangan tersebut akan dibawa kepada perhatian Kementerian Kewangan (MOF), untuk pertimbangan dijadikan sebagai sebahagian daripada Pelan Pemulihan Ekonomi yang dijangka diumumkan oleh YAB Perdana Menteri dalam masa terdekat.


“Saya telah meminta setiap agensi kerajaan yang terlibat dalam mesyuarat tersebut untuk menyenaraikan bantuan-bantuan yang boleh dilaksanakan dalam tempoh enam bulan yang akan datang dengan menggunakan peruntukan sedia ada masing-masing dan tidak memerlukan sebarang pindaan kepada aspek kawal sedia
ada. Agensi-agensi tersebut juga perlu memaklumkan tentang bantuan-bantuan yang boleh dilaksanakan menggunakan dana sedia ada, tetapi memerlukan tindakan lanjut dari aspek kawal selia sedia ada yang perlu kelulusan pihak MOF”.

“Dalam hubungan ini, saya mengalu-alukan dan menghargai komitmen yang telah diberikan oleh pihak MOTAC yang telah bersetuju untuk bekerjasama dengan KKMM dalam menerajui usaha-usaha membantu penggiat industri kreatif memulakan semula aktiviti masing-masing”.


Menurut beliau lagi, menerusi Dana Kandungan Digital (DKD), pihak kerajaan akan memastikan agensi-agensi dibawah KKMM seperti FINAS dan MDEC dapat menghasilkan lebih banyak kandungan kreatif serta peluang pekerjaan kepada penggiat industri berkenaan.