PUTRAJAYA- Mesyuarat Majlis Kewangan Negara diadakan bertujuan membincangkan perkara yang melibatkan pengurusan kewangan Kerajaan Negeri dan isu-isu yang berkaitan. Beberapa perkara berkenaan kepentingan bersama Kerajaan Persekutuan dan Negeri turut dibincangkan.

Hasil mesyuarat tersebut, Majlis Kewangan Negara bersetuju meluluskan caruman kepada
Kumpulan Wang Rizab Negeri bagi tahun 2022 sebanyak RM350 juta
untuk membiayai Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan
Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (TAHAP) dan bersetuju supaya penyaluran pemberian TAHAP ini dibuat terus kepada semua Kerajaan Negeri pada setiap awal tahun mulai tahun 2021. Inisiatif ini merupakan komitmen dan manifestasi keprihatinan Kerajaan Persekutuan untuk membantu negeri-negeri yang
berpendapatan rendah supaya mempunyai tambahan dana bagi
melaksanakan projek-projek untuk manfaat rakyat.

Dalam mesyuarat tersebut, Kerajaan Persekutuan komited dalam memastikan kemudahan jalan raya di
negeri-negeri disenggara dengan baik bagi mengekalkan kualiti jalan raya
demi menjamin keselamatan dan keselesaan rakyat. Sehubungan
dengan itu, Kerajaan Persekutuan bersetuju supaya Garis Panduan
MARRIS ditambah baik antaranya termasuk memperluaskan perbelanjaan yang dibenarkan dengan meningkatkan had sedia ada
kepada 20% atau RM50 juta, mengikut mana yang terendah supaya turut
merangkumi kerja-kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan/culvert, penyediaan atau pengalihan utiliti serta pemeliharaan pokok di bahu jalan.

Berikutan daripada impak penularan wabak COVID-19, Kerajaan Persekutuan bersetuju memutuskan supaya pemberian MARRIS pada tahun 2021 disalurkan sepenuhnya walaupun Kerajaan Negeri tidak mencapai paras 85% perbelanjaan pada tahun 2020.

Hasil mesyuarat tersebut juga membincangkan mengenai permohonan Kerajaan Negeri untuk menstruktur atau menjadual semula pinjaman bagi membantu Kerajaan Negeri yang menghadapi kekangan kewangan bagi membuat pembayaran balik pinjaman akan dipertimbangkan oleh Kerajaan Persekutuan.