Kenyataan Akhbar KPK 25 Mei 2020 – Sehingga 25 Mei 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 172 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 7,417 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 1,323 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Sehingga kini, seramai lapan (8) kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, empat (4) kes memerlukan bantuan pernafasan.

Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dimaklumkan bahawa tiada kes kematian berkaitan COVID-19 setakat ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia kekal sebanyak 115 kes (1.55 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Ingin dimaklumkan daripada 172 kes baru yang dilaporkan, 5 kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara. Daripada 167 kes penularan tempatan, 159 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 112 kes telah dikesan di tiga Depot Tahanan Imigresen (DTI). Orang ramai tidak perlu bimbang kerana depot-depot Imigresen ini merupakan tempat yang terasing daripada masyarakat umum dan dikawal oleh pihak berkuasa.